Kisah Pemandu Teksi


               Sebuah teksi meluncur di atas jalanraya, menuju ke Carrefour Maadi. Jalanraya tidaklah sesibuk selalu, mungkin kerana waktu itu baru pukul satu tengahari, belum sampai waktu bersesak-sesak di atas jalanraya bagi penduduk Mesir. 4 manusia sedang duduk memerhati persekitaran dari tingkap teksi, sambil wajah diterpa angin bagi menyejukkan badan yang kepanasan dan kelaparan di bulan Ramadhan ini.

"Kamu semua pergi ke Carrefour mahu beli barang, kemudian mahu berbuka puasa di sana?" tanya pemandu teksi. Seorang belia arab sekitar akhir dua puluhan, berambut kerinting dan badan yang sedang-sedang sahaja.

"Ya, ada barang yang mahu dibeli, dan kemudian mahu berbuka puasa di sana. Kamu pula berbuka puasa di mana?" Jawab Najmi, yang duduk disebelah memandu, sekadar mahu mengembangkan perbualan.

"Oh, aku sebenarnya tidak puasa pada hari ini. Haha" selorohnya sambil menuding ke arah botol air sabil yang terletak di sisi kakinya. Dua lagi penumpang yang duduk di kerusi belakang, Halim dan Syuraif mula memberikan perhatian kepada perbualan kami. Wajah mereka menunjukkan tanda hairan dan tertanya-tanya.

Najmi masih bersangka baik, lalu bertanya, " Kenapa kau tak puasa, uzurkah?" sangkanya mungkin kepenatan memandu teksi buruk yang tiada penghawa dingin di bawah sinaran mentari musim panas, ditambah dengan kondisi trafik Mesir yang menyakitkan kepala dan hati.
"Oh aku tidak sakit, aku mengambil mukhaddarat! (drugs) kamu semua tak hisap mukhaddarat kah?" Kata pemandu teksi itu.

"Oh tidak! Dadah itu haram, dadah apa yang kamu ambil ni sebenarnya?" jawab Najmi,sambil diiyakan oleh Halim dan Syuraif.

" Aku suka Hashish (marijuana) dan satu lagi...Bango! Ya Bango, sudah lama aku tidak menghisap Bango"  Katanya sambil tersenyum. " Bir, arak, kamu mesti suka minum bir kan?'

Penumpang lain mula ragu-ragu. Muslimkah dia? Dilihat dari ayat surah Al Ikhlas dan tasbih yang tergantung di cermin belakang. Kelihatan seperti seorang muslim. "Tentulah kami tidak minum, kami muslim, itu kan haram!', balas Syuraif.

Pemandu itu memandang muka kami satu-persatu, walaupun kereta sedang meluncur laju, lalu kembali mengalihkan perhatiannya ke arah jalanraya. " Jadi kamu semua ni, mahu masuk syurgalah ya?"

"Tentulah mahu, semua manusia mahu masuk syurga, kau tak mahu masuk syurgakah?" jawab Halim yang sejak tadi hanya mendiam memerhatikan yang lain.

Pemandu itu ketawa, " Aku tak mahu masuk syurga, tambahan lagi pintu syurga sudah ditutup, syurga sudah penuh! Jadi yang tidak dapat masuk syurga ini tentulah akan masuk neraka haha! Tambahan lagi kawan-kawan aku semua akan masuk neraka, jadi aku pun mahu masuk neraka sekali dengan mereka!, hahaha,. Dia menyambung ketawanya.

             Yang lain terdiam, adakah pemandu ini sedang berjenaka? Adakah dia serius dengan apa yang dicakapkan? Teksi buruk itu riuh seketika dengan perang mulut. Mujur pemandu itu masih memberikan perhatian ke jalanraya. Dia hanya mengetawakan nasihat-nasihat dan hujah-hujah yang diberikan penumpang lain. Yang ada dalam hati penumpang lain bukanlah amarah, sebaliknya rasa simpati dan kasihan terhadap pemandu mereka itu.

"Masuklah syurga bersama-sama kami!" seru Najmi, " Ya, betul! Masuklah syurga bersama-sama kami, Allah masih menyayangi kamu!", seru Syuraif pula.

              Pemandu itu terdiam seketika, ternampak sekilas keinsafan di wajahnya." Aku tak mahu...aku mahu masuk neraka..Syurga telah tertutup untuk aku, kalau kamu mahu masuk syurga, ya aku akan mendoakan kamu, tetapi aku tidak akan masuk syurga", balasnya. ketika itu juga teksi itu berhenti, nampaknya sudah sampai ke destinasi penumpangnya. Tiada lagi alasan untuk pemandu itu meneruskan perjalanan.

              Penumpang lain keluar dalam perasaan hiba di hati. Membayar tambang yang secukupnya dan meihat teksi buruk itu menghilang dari pandangan mereka. Tidak sempat mereka bertanya nama pemandu itu, atau mengetahui kisah di sebalik keputus asaan pemandu itu. Jauh di sudut hati, mereka mendoakan moga hatinya menerima kembali sinar hidayah dan harapan dari Tuhan Yang Maha Esa.


“Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”. (az-Zumar: 53-54)


Seluruh umatku akan masuk jannah, kecuali yang enggan.” Maka dikatakan: “Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?” Beliau menjawab: “Barangsiapa yang menaatiku maka dia pasti masuk jannah, sedangkan barangsiapa yang mendurhakaiku maka sungguh dia telah enggan (masuk jannah).” (Hadits Riwayat Al-Bukhari)


Comments

Eng Einy said…
oh sayunya baca cerita ni..rahmat Allah itu luas, moga kita mendoakn dia tidak berputus asa untuk mencari syurgaNya
Mehmed Aimi said…
pengalaman sendri ke ney...??
qhasehdinda said…
satu perkongsian pngalman yg mnarik.. *terdiam*
i met the same kind of person but different story, thanx for sharing, menginsafkan
musafirtibbi said…
Rem- Semoga dia mendapat nikmat taubat..

Mukmin- Kinda.

Hidayah- Ada di mana-mana.

Abg Faizal- you are welcome
srikandimawar said…
Allah menyayangi hambaNYA....moga dia mendapat hidayahNYA..

Popular posts from this blog

Sekitar Blood Drive For Gaza

Selepas Setahun..

Kemaafan